Coretan Pengalaman Mesyuarat CPA Di Afrika
Selatan – perlu ada dasar liberal di negara majmuk
YB
Wong Hon Wai
Ahli
Dewan Undangan Negeri Air Itam merangkap Pengerusi Kira-kira Awam Dewan
Undangan Negeri Pulau Pinang.
Pada awal September 2013, saya bersama beberapa rakan sejawat telah mewakili Dewan Undangan Negeri
Pulau Pinang melawat ke Johannesberg, Afrika Selatan untuk menghadiri Persidangan
Ke-59 Commonwealth Parliamentary Association (CPA). Ini merupakan pengalaman yang sangat ternilai. Commonwealth Parliamentary Association yang
ditubuhkan pada 1911 dulu dikenali sebagai Empire Parliamentary Association,
ahli-ahlinya terdiri daripada wakil rakyat dari 210 Parlimen dan Dewan Undangan Negeri dari
negara-negara yang pernah diperintah oleh British.
Saya pernah menghadiri mesyuarat
antarabangsa yang lain di mana penggunaan headphone adalah perkara lumrah. Cara kegunaan headphone ialah tekan butang 1
diterjemah ke dalam Bahasa Portugis, tekan butang 2 Bahasa Mandarin, tekan
butang 3 Bahasa Perancis, tekan butang 4 Bahasa Inggeris dan seumpamanya. Pengagihan headphone tidak perlu di mesyuarat
CPA sebab Bahasa Inggeris telah menjadi lingua
franca di Commonwealth.
Di persidangan kali ini, wakil dari Kepulauan Falkland telah membentangkan satu
laporan yang amat bersejarah. Kepulauan
Falkland merupakan wilayah seberang laut British di selatan Negara Argentina di
Amerika Selatan. Pada 10 Mac 2013,
Kepulauan Falkland yang mempunyai 3,000 penduduk telah mengadakan
referendum. Dalam 1,672 pengundi yang
layak, 98.8% telah memilih untuk mengekalkan kedudukan wilayah seberang laut
British. Persidangan Commonwealth
Parliamentary Association kali ini telah menerima laporan berkenaan keputusan tersebut.
Saya menyatakan laporan ini bersejerah
keranan pada tahun 1982, tentera Argentina telah mencerobohi masuk ke Kepulauan
Falkland. British menghantar tenteranya
mempertahankan Kepulauan Falkland. Selepas berperang selama 74 hari, tentera
British telah menghalau tentera Argentina keluar dari Kepulauan Falkland. Peperangan ini telah mengukuhkan kedudukan
politik Perdana Menteri British pada masa itu, Madam Margaret Thatcher. Lebih daripada 900 orang telah terbunuh dalam
peperangan ini.
Maka, laporan dari Kepulauan Falkland
adalah istimewa kerana ini merupakan kes rujukan negara kecil membuat keputusan
terhadap masa depan sendiri.
Di samping pelbagai usul dan dialog,
saya juga menghadiri satu forum yang menyentuh tentang isu masyarakat yang kian
berusia dan polisi untuk menghadapinya.
Dalam forum tersebut, seorang ahli parlimen British yang berusia 86
tahun telah mengingatkan para wakil rakyat untuk memikirkan bagaimana untuk
menggubal polisi dan dasar yang merangkumi penjagaan warga emas, kebajikan,
pencen, perumahan untuk menghadapi cabaran penduduk-penduduk yang semakin
tua. Ahli Parlimen dari Singapura
melaporkan purata umur hayat rakyat negara tersebut adalah 80 tahun. Ahli Parlimen Kanada juga melaporkan bahawa
umur bersara negara tersebut adalah 67 tahun.
Malaysia perlu meneliti isu masyarakat yang semakin berusia dan
menggubal polisi dan dasar yang berkaitan.
Adakah kita sendiri telah merancang terhadap hayat yang semakin lanjut?
Selama seminggu saya berada di Afrika
Selatan, surat khabar tempatan telah membuat liputan yang luas tentang berita Nelson
Mandela keluar dari hospital dan beristirehat di rumah. Kami mendapati ramai anggota polis berjaga di
luar rumah beliau semasa kereta kami melaluinya. Para media berkhemah di hadapan rumah beliau
untuk mendapatkan berita dan gambar terkini.
Nelson Mandela telah menentang dasar Apartheid seumur hidup dan telah
dipenjarakan selama 27 tahun, berjuang untuk kebebesan rakyat Afrika Selatan. Beliau telah dipilih sebagai Presiden Afrika
Selatan selama 5 tahun dan beliau telah mencontohi Presiden George Washington dengan
tidak memegang jawatan Presiden seumur hidup.
Saya amat terharu dengan gambar-gambar
dan pameran di Muzium Apartheid, Johannersberg. Rakyat Afrika Selatan telah menentang dasar
Apartheid dengan nyawa mereka. Kita tidak
boleh bertolak ansur dengan dasar Apartheid yang mana rakyat dipecahkan dan
diperintah mengikut warna kulit. Semasa
zaman Apartheid, terdapat keadaan restoran yang menggantung papan tanda yang
hanya membenarkan kemasukan orang putih atau hanya membenarkan orang putih
menaiki gerabak keretapi tertentu. Ini
telah melanggar prinsip hak asasi manusia sejagat.
Pada tahun 1994, Afrika Selatan telah mengadakan pilihanraya demokratik yang
pertama untuk memilih kerajaan baru. Di
tempat tinggal rakyat Afrika Selatan, barisan pengundi yang beratur untuk
mengundi adalah sepanjang beberapa kilometer, mereka telah beratur di bawah
matahari terik beberapa jam untuk mengundi.
Sebenarnya penungguan beberapa jam bukanlah perkara besar kerana mereka
telah menunggu saat-saat demokrasi sepanjang hayat mereka.
Saya
mendapati dunia ini sememangnya satu dunia yang majmuk dan kepelbagaian. Pejuang kemerdekaan India, Mahatma Gandhi
pernah bekerja sebagai peguam selama 21 tahun di Afrika Selatan pada awal abab
kedua puluh. Bekas Perdana Menteri
Britain, Sir Winston Churchill juga pernah menjadi wartawan perang semasa
Perang Boer, Afrika Selatan pada tahun 1899 dan pernah ditahan. Beliau telah melarikan diri dan balik ke
Britain dan dipilih sebagai Ahli Parlimen.
Ratusan tahun dulu, rakyat Afrika diekspot sebagai hamba ke Amerika
Utara dan Amerika Selatan. Saya telah
membaca autobiografi Nelson Mandela “Long Walk to Freedom” dalam penerbangan ke
Afrika Selatan dan semasa pulang membaca majalah Times yang terbaru melaporkan
ulang tahun ke-50 pergerakan hak sivil samarata yang diketuai oleh pemimpin hak
sivil Amerika Syarikat, Martin Luther King yang terkenal dengan ucapan “I Have A Dream”.
Tokoh-tokoh dan
peristiwa-peristiwa ini saling mempengaruhi satu sama lain. Pejuang-pejuang kebebasan melawan satu sistem
yang tidak adil di mana sesetengah kelompok masyarakat diberi layanan yang
berbeza mengikut warna kulit.
Iktibar yang saya pelajari ialah pentingnya
melaksanakan dasar yang liberal dalam masyarakat majmuk. Semua kelompok
masyarakat yang berbeza dari segi warna kulit, agama dan kebudayaan hendaklah
diberi layanan yang sama dan adil. Sekiranya tidak, masyarakat majmuk akan
umbang-ambing dan ketidakpuasan rakyat akan timbul sehinggaka regim yang
melaksanakan dasar belah bahagi itu akan tumbang seperti tumbangnya regim yang
melaksanakan dasar apartheid di Afrika Selantan.
Wakil
Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang yang menghadiri Persidangan Ke-59
Commonwealth Parliamentary Association (CPA), dari kiri
YB Dato Hjh Jahara bt Hamid (Ketua Pembangkang), YB Hj Maktar bin Hj Shapee (Timbalan
Speaker), YB Dato Law Choo Kiang (Speaker), YB Chow Kon Yeow (EXCO Pulau Pinang)
dan YB Wong Hon Wai (Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Awam)
YB Wong Hon Wai mengambil gambar bersama portret Nelson Mandela
Delegasi Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang bersama pelajar
Afrika Selatan di depan Muzium Aparthied, Johannersberg, Afrika Selantan
Wakil dari Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, dari kiri ialah YB
Chow Kon Yeow (EXCO Pulau Pinang), YB Wong Hon Wai (Pengerusi Jawatankuasa
Kira-kira Awam) , YB Dato Hjh Jahara bt Hamid (Ketua Pembangkang), dan YB Dato Law Choo Kiang (Speaker).